Adakah Saya Munafik???

Salam rindu buat tatapan pembaca blog saya. Selawat dan salam buat Nabi junjungan, Muhammad bin Abdullah dan kaum keluarga baginda seterusnya sahabat radiallahu anhum serta muslimin muslimat sekalian.

Sekian lama tidak menari jari saya di atas papan kekunci laptop saya. Ini kali pertama saya menaip menggunakan laptop sendiri. Hasil usaha dalam menggapai kecemerlangan dalam pelajaran, ayah memberi hadiah laptop ini. Selain hadiah, saya anggap ia sebagai tanda ingatan ayah kepada saya. Usianya yang menghampiri penamat lakonan dipentas dunia, entah bila-bila masa bakal dijemput Allah. Saya bersedia hadapi saat getir itu. Pernah saya beritahu abang untuk mendoakan ayah sempat lihat saya berjaya menjunjung skroll diatas pentas. Jawab abang, "bukan itu yang abah harapkan tetapi, kejayaan yang teramat dia inginkan ialah anak-anaknya ada disamping abah meninggal dunia. Sakitnya tidak ditanggung sendirian tetapi diringankan dengan doa anaknya yang taat dan ingat kepada abah."

Terbayang seketika, bagaimana perasaan seorang anak yang sanggup tinggalkan ayahnya di perhentian bas selepas ayahnya menjalani pembedahan jantung. Kisah ini zahir didada akhbar. Semoga anak itu sempat taubat dan memohon ampun kepada ayahnya. REDHA ALLAH PADA REDHA KEDUA IBUBAPA.


Kalian yang dimuiakan Allah,
Saya sering bertanya kepada diri, kenapa saya sering tewas dengan tipu daya syaitan. Terlalu sukar untuk istiqamah dalam taat kepada Allah. Bimbang teramat sangat andai saya ditetapkan untuk singgah di neraka yang penuh dengan kesakitan dan penyeksaan. Bukan perkara yang boleh dibuat gurauan. Api yang membakar berkali ganda panasnya didunia.

Apakah silap saya sehingga Allah membiarkan saya terjerumus dalam rancangan jahat syaitan itu. Berkali kali mohon perlindungan. Saya sedar saya bukan seorang maksum tetapi janganlah sehingga noda yang tercalit itu begitu berat sehingga hampir saya terlupa bahawa Rahmat dan Pengampunan-Nya sentiasa terbuka untuk hamba-Nya.

Semoga Allah merahmati kalian,
Kelemahan saya yang selalu menjadi bahan mainan syaitan ialah nafsu. Bukan mudah mengawal nafsu yang memberontak setiap kalinya. Tambahan dunia sekarang terlalu mencabar. Asal keluar rumah, bermacam-macam ragam manusia yang berbeza jantina ditontonkan Allah. Istighfar tidak terputus. Harapnya, Istighfar itu dapat menggantikan dosa mata yang bertambah semakin lama berada di kawasan awam.

Selama ini, orang panggil saya ustaz kerana perwatakan yang terbiasa dengan kemas dan islamic. Panggilan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada perbuatan saya. TERBATAS. Itu yang paling tepat untuk saya katakan. Saya tidak bebas seperti rakan lain. Allah kenalkan saya dengan pelbagai insan yang patuh kepada Allah. Mungkin itu yang Allah takdirkan sebagai tanda pengaduan saya agar dilindungi daripada maksiat dimakbulkan-Nya.

Sesekali menilai diri. Adakah saya MUNAFIK?
Balasan kepada orang munafik seperti digambarkan didalam buku karangan Syaikh Mahir Ahmad Ash-Shufi, MENGINTIP NGERINYA NERAKA. Antara nukilan beliau, (mengikut ulasan saya) para munafik ketika meniti titin sirat yang menjadi jambatan kepada hala tuju destinasi penentuan terhadap amal didunia ini. Munafik ini akan disambar dengan pencakup yang tajam seperti mata kail tajamnya. Setelah dicangkup, dilemparkan ke dalam neraka. Untuk sampai kepada dasar neraka memakan masa selama 40 tahun diakhirat ( 1000 kali ganda masa dunia). Sudah tu, apabila tiba ke dasar, diseksa pula dengan pelbagai penyeksaan. Cukuplah dengan kengerian seksaan terhadap tahanan Guantanamo. Lebih daripada itu seksaan di neraka.

Apa yang membingungkan saya, keburukan saya sering aktif tatkala sendirian. Bagi saya, bukan berniat munafik tetapi saya berusaha mengislah diri. Bukan mudah meninggalkan tabiat buruk dengan serta merta. Namun, perlakuan itu membuat saya menganggap diri ini munafik. Dalam erti kata lain, bermuka-muka dihadapan orang. Betul ke saya begitu?

Yang mampu memberi jawapan ialah Iman.

Semoga dapat kita bersama muhasabah diri dan mecari redha Allah. Wallahu 'alam.