DugaanNya

Terkadang tertanya diri kenapa dugaan itu mesi wujud dalam diari seorang yang semacam aku. Mungkin soalan terbit akibat kurangnya Iman tatkala itu. Muhasabah hakikat perjalanan seorang yang bernama hambaNya, memberi jawapan menyeluruh.

Ayah menunjukkan semakin hampir saatnya dijemput Ilahi. Tenatnya hanya dirinya yang rasai. Berat mata yang melihat, berat lagi diri yang memikul sakit. Semoga sakit abah dapat dijadikan kaffarah atas dirinya. Sememangnya sakit itu ialah tanda Allah sayang akan hambaNya.


Hari ini masuk hari ketiga abah berada di wad tingkat 8A, HTAA. Sepanjang aku temani abah, tiada yang dapat aku nafikan lagi betapa sedih dan sayupnya hati melihat abah. Ingin menangis. Sebolehnya ingin menangis sehingga puas. Namun, tangisan aku itu pasti membuat aku lebih lemah untuk minggu revision week bagi menghadapi final exam sem 3 minggu depan.

Ya Allah, kuatkan semangat aku....

Melintas kerap kali soalan yang menjatuhkan semangat aku, "kenapa semua ini hadir dalam perjalanan aku waktu ini?"

"Eh, rukun Iman ke-6. Apakah aku tidak berIman?" sanggah monologku.

Yang pasti tetap pasti. Allah tidak melewatkan dan tidak pula ia mempercepatkan. Begitu Quran memujuk ketika aku mengaji lepas Maghrib tadi. Rakan-rakan, bacalah Al-Quran dan maknanya sekali. Baru dapat jiwai apa yang termaktub dalamnya.

Bagi yang membaca kiriman kali ini, doakanlah abah diberikan yang terbaik daripada Allah.
Tidak aku ingin catatkan segala mainan yang sering bermain dibenak hatiku. Moga Abah diberikan yang baik sahaja.

haffiz : aku sering dengar lagu munajat hamba, Hijjaz untuk muhasabah diri.

Bulan Mei Sekarang...

Dalam sedar atau tidak, bulan Mei sudah pun menerjah hidupku. Dalam kalendar Hijriah pula, Jamadil Awal. Bermakna, aku masih punyai masa berbaki lebih kurang 3 bulan untuk berdepan dengan Ramadhan. Apa kefahaman tentang Ramadhan boleh aku amalkan bila tiba masanya nanti. Biarpun kini yang ke-22 aku laluinya namun, masih banyak yang aku jahil mengenainya.

Itu untuk 3 bulan mendatang, tetapi untuk bulan ini? Ya, Hari Ibu. Happy Mother Day. Harus untuk menyambut Hari Ibu bertepatan dengan pandangan Dr. Yusuf Al-Qardawi :

“Perayaan hari Ibu tidak boleh dikatakan salah satu hari raya bagi umat Islam. Namun demikian, ia tetap dikira sebagai satu peluang untuk perlu diambil untuk menzahirkan kemuliaan kepada ibu, di dalam masa yang sama tidaklah menafikan kewajipan anak ini pada hari-hari yang lain.

Dan sekiranya dipilih satu hari untuk anak-anak masing-masing memuliakan ibu mereka dengan cara tersendiri, maka itu tidaklah dicegah oleh hukum syarak. Bahkan kita mengadakan sambutan ini sebagai memenuhi perintah Allah s.w.t.”



Adapun persoalan sekarang, adakah hari lahir Ibu masing-masing segar diingatan? Atau sambutan Hari Ibu ini sekadar terikut-ikut dengan pembawakan Barat? Moga jawapannya positif.

Lazimnya, pada hari yang dianggap istimewa buat ibu-ibu sedunia diraikan dengan pengisian kisah pengorbanan setiap ibu dalam menongkah liku hidup. Usah dilihat yang terlalu jauh contohnya, memadai kita menghitung betapa sukarnya mereka kandungkan anak selama 9bulan 10 hari. Saat melahirkan anak itulah saat nyawa mereka seperti telur dihujung tanduk. Menanti saat rebah atau gagah.

Tidak kita abaikan kisah bagaimana ada insan yang sanggup membiarkan orang tua mereka dirumah kebajikan yang penuh dengan kesedihan dan kemurungan. Kejam dan tidak berperi kemanusiaan. Mungkin dahulu aku tidak bisa mengatakan sebegini kerana tidak pernah lalui sendiri tetapi kini, aku lalui dengan kesedihan.

Apa pun, kiriman ini sekadar meluahkan rasa bersyukur kerana masih punyai Ibu yang tabah menjaga ayah yang sakit teruk. Seketika ini tadi, aku telefon rumah dan ibu yang menyambut panggilanku. Betapa lega bila ibu mengatakan bahawa ayah stabil. Bimbang kerana sewaktu aku mandikan ayah, sukarnya diurus. Terbayang pula bagaimana ibu yang mengambil alih. Mujur abang yang tinggal berhampiran datang membantu. Fuh...

Sekian dahulu... salam alaik.