Bersandar Kepada Rahmat Allah


Setengah dari tanda bahawa seseorang itu bersandar diri kepada kekuatan amal usahanya, iaitu berkurang pengharapan terhadap rahmat kurnia Allah ketika terjadi padanya kesalahan/dosa.

Laa ilaha illallah : tiada tuhan selain Allah beerti tiada tempat bersandar, berlindung, berharap selain kepada Allah semata-mata. Zahirnya syariat menyuruh kita berusaha, beramal, adapun hakikat melarang kita bersandar kepada amal usaha itu supaya sentiasa bersandar kepada kurnia petunjuk hidayah Allah. Tanpa petunjuk hidayah Allah beserta kekuatan iman, manakan kita dapat melakukan taat kepada Allah.

Laa haula wala quwwata illa billah : tiada daya upaya kita sebagai makhluk mengelak daripada kesalahan dan tiada kekuatan beramal tanpa bantuan Allah. Jadi, apa nilai amal kita untuk kita bersandar atau berbangga kepada ia.

"katakanlah hanya kerana merasakan kurnia rahmat Allah kamu boleh bergembira, dan itulah yang lebih baik bagi mereka daripada apa yang dapat mereka kumpulkan sendiri" -Yunus : 58

Apabila kita dilarang syirik kepada Allah, maka jangan kita syirikkan Allah dengan kekuatan diri. Contoh, bila kita bangun qiamulail(bangun tahajjud) tengah malam lalu dikatakan itu semua atas usaha kita sendiri untuk bangun. Antara yang boleh dikatakan usaha seperti kunci jam loceng, kunci alarm handphone atau sebagainya. Sesungguhnya itu semua pertolongan dan keizinan Allah untuk kita taat kepadaNya.

Tetapi jangan pula kita berputus asa dengan mengatakan Allah tidak pilih diri kita sebagai tetamuNya selepas sekali dua kita tidak dapat melakukan taat. Berdoa dan Istighfar. Mungkin diri kita terlalu kotor untuk selalu berdamping dengan Allah. Jadi, disamping melakukan taat yang difardhukan, perbanyakkan istighfar sucikan hati. Jangan tidak ditambah dengan amalan sunat. Itupun mampu buat Allah sayang pada kita.

0 komen:

Post a Comment