Kuasa Penulisan

Dipetik daripada Blog
http://hajimuhammadzakaria.blogspot.com/2009/11/kuasa-bahan-penulisan.html

Sama sama kita renungkan penulisan beliau ,Haji Muhammad Zakaria

Pada 14 November 2009 (Sabtu) ini, jam 8.30 pagi - 5.30 petang saya akan mengendalikan sutuKursus Penulisan yang bertemakan TINTA DA'IE di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Petaling Jaya bersama penulis yang terkenal dengan jolokan "CINTA" - Pahrol Mohd Juoi.

Urusetia yang menghubungi saya, Siti Zaharah memberitahu,
"Tuan Haji, nanti sentuh dan tolong beri panduan tentang panduan menulis blog yang bermanfaat ya."

Penulisan sememangnya telah memainkan peranan penting dalam perkembangan ketamadunan manusia. Penulisan merupakan salah satu alat komunikasi yang evergreen. Al-Quran apabila diwahyukan tidak cukup dihafal dan dihayati kerana ramai para sahabat yang syahid dalam peperangan bersama hafalan mereka.

Ayat al-Quran akhirnya ditulis pada zaman Khalifah Sayidina Othman Ibnu Affan r.a. Ya, dulu ditulis di atas pelepah dan batang tamar serta diukir di atas belulang unta dan kambing. Kemudian apabila Rasulullah s.a.w. mendengar yang orang di negeri China telah pun menggunakan mesin cetak Baginda bersabda,
"Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China."

Lantas sahabat merintis jalan ke negeri China yang hari ini dikenali sebagai Laluan Sutera (Silk Road). Antara sahabat yang menjadi peneroka ialah seorang daripada sahabat yang dijamin ahli syurga iaitu Zubair bin al-Awwam hingga beliau meninggal dunia dan dimakamkan di China. Ini kepentingan ilmu dan penulisan.

Perkembangan Teknologi Penulisan

Apabila zaman berubah, teknologi percetakan menjadi semakin canggih. Kemudian lahir ciptaan alat penyiaran seperti radio dan televisyen yang juga memerlukan penulis skrip untuk menghasilkan siarannya.

Hari ini teknologi penerbitan telah menjadi bertambah canggih hingga terciptanya internet, lebuh raya multi media, SMS, MMS dan PDA.

Dan pada hari ini juga anak remaja membangun usia dalam ruang litup pendidikan dan tarbiah langit tanpa sempadan. Dan penulisan masih merupakan alat dan senjata asas untuk melunaskan matlamat penggunaan alat-alat tersebut.

Ingatlah, penulisan akan mencatat sejarah. Minda anda mungkin akan lupa, namun penulisan akan mencatat butiran dan renteten perjalanan hidup anda dalam nama diari, memoir dan biografi. Hari ini sejarah perjalanan hidup anda dicatat dalam SMS, blog, facebook dan beberapa banyak media yang seumpamanya.

Penulisan juga mencetak fikiran manusia. Seorang remaja terpengaruh dengan cara hidup dan pola pemikiran sahabatnya yang disebar melalui pergaulan, telefon bimbit dan internet. Kilang melahirkan barangan keperluan untuk hidup anda tetapi anda melalui pengaruh dan pemikiran mampu melahirkan seorang manusia yang bernama kawan melalui penulisan. Dapatkah anda rasakan betapa besar dan hebatnya peranan penulisan.

Berfikir

Penulisan juga mampu membuat manusia berfikir. Penulisan mampu mengubah daya fikir dan cara hidup seseorang ke arah yang lebih bermakna dan bermanfaat mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. semata-mata. Cumanya format dan konsep penulisan hari ini perlu berubah kepada bentuk visual, grafik, foto, ilustrasi, peta minda dan carta supaya setanding dengan bahan-bahan lain yang tak kurang menggoda manusia dengan seribu satu macam hiburan dan ajaran sesat yang melalaikan.

Okay, sekarang anda sudah faham kenapa menulis blog, SMS, e-mel dan sebagainya penting untuk menjadi alat berdakwah. Alat ini menjadi senjata para daie moden.

Foto: Kampung Cumanak berhampiran Gunong Tigo di Padang Alai, Pariaman, Sumatera Barat tenggelam 100 kaki ditelan bumi. Di lokasi ini 300 orang tertimbus ketika menghadiri majlis walimah. Hanya sebilangan kecil jenazah yang ditemui. Khemah majlis kenduri masih berdiri sedih di atas tebing kerana tiada siapa yang masih hidup untuk membukanya. (Foto ihsan: Muhammad Nukman Muqarrin).

Sehari selepas saya pulang dari Padang menyaksikan akibat gempa bumi yang dahsyat itu, seorang kawan mati-mati mahu mencari saya untuk mendapatkan gambar tiga buah kampung yang ditelan bumi di Gunung Tigo, Padang Alai, Pariaman, Sumatera Barat. Katanya dia hendak menayangkan senario itu sebelum memulakan suatu kursus motivasi di sebuah IPT tempatan untuk peserta yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara.
"Biar remaja ini sedar akan kekuasaan Allah," kata beliau.

Dia datang mencari saya di pejabat saya di Telaga Biru. Dan beliau tersenyum lebar apabila visual tersebut dalam bentuk gambar foto yang diambil oleh jurufoto kami, Muhammad Nukman Muqarrin, akhirnya berjaya disalin.

Foto: Runtuhan rumah akibat gempa di Kampung Sikapak Usang, Tungkal, Pariaman, Sumatera Barat. Visual seperti ini lebih berkesan untuk anda merasai situasi yang tidak dapat anda alami secara personal.


Beliau tidak berpuas hati. Dalam kesibukan beliau memberi latihan, beliau mengambil tiga hari cuti, menempat tikit dan terbang sendirian ke Padang. Baru semalam beliau balik. Katanya, "Ana dapat rasai kebesaran Allah ketika berdiri di pinggir tanah runtuh yang menenggelamkan tiga buah kampung itu."

Itu peranan dan kesan bahan penerbitan.

0 komen:

Post a Comment