Catatan Misi Kemanusiaan Padang


27 Disember 2009

Pada awalnya agak meragukan bahawa saya terpilih untuk ke Padang,Sumatera Barat. Menjadi sukarelawan bukan suatu yang mudah. Seperti lagu kumpulan Hijjaz,Sunnah Orang Berjuang, banyak nasihat didalamnya. Daripada aspek kewangan, banyak sangat ke duit saya untuk kesana... Namun, inilah pemilihan yang penuh hikmah atas rancangan terarut Allah s.w.t Dia lebih tahu apa yang berlaku.

4.30 pagi,
setelah korban masa tidur sejak 11 malam semalamnya, kami seramai 7 orang berangkat ke LCCT lebih awal. Sekali lagi saya bertanya pada diri, apa benar hari yang sedang dilalui ini atau mainan mimpi seperti mimpi dalam lena sebelum ini. Bimbang sukar berinteraksi dengan peserta lain kerana perbezaan mencecah lebih 20 tahun. Rambut peserta lain sudah dipenuhi uban. Erm, teruskan juga.


7.50 pagi,
Penerbangan kali pertama dalam 21 tahun ini membuatkan saya begitu teruja. Syukur tidak terhingga. Pada September lalu, terlintas dalam doa agar Allah berikan pengalaman menaiki Kapal Terbang ke Mekah. Teringin buat umrah. Noda dalam hati sudah terlalu tebal. Takut Allah laknat saya sewaktu mengadapNya kelak. Ternyata Allah aturkan sesuatu yang istimewa buat saya. Air Asia. Ya, itu nama pesawat yang kami naiki. Sakit hati juga kepada pekerja LCCT. Syampoo mandi dan deodoran baru dibeli dirampas. Rupa saya ada gaya seperti pengganas?


9.00 pagi,
menjejak kaki di Bandar Udara Internasional Minangkabau setelah hampir 1 jam takjub melihat bumi Allah daripada pandangan atas. Ketibaan kami disambut mesra Ustaz Ridhuan dan Ustaz Naufal beserta sukarelawan Indonesia di sana. Melagakan pipi sesama kami sebagai tanda kemesraan saudara seumat. Awalnya kekok kerana biasanya mencium anak kecil sewaktu bekerja sebagai warden rumah anak yatim tetapi kini bapak bapak pula. Layan...


9.50 pagi,
taaruf ringkas disempurnakan. Seterusnya, Ustaz Naufal membawa kami ke Parit Malintang. Berjumpa dengan sukarelawan Malaysia daripada PANTAS, Selangor. Lokasi TPA / TPSA Babul Istiqamah, Seangor Darul Ehsan, Parit Malintang. Sepanjang perjalanan ke destinasi, banyak rumah yang runtuh menyembah bumi. Jiwa mula terusik ingin segera membantu. Tertawa hati kecil melihat penduduk membonceng anjing di depan motor dan belakang mereka. Ustaz Naufal menambah kepastian diri saya bahawa majoriti semua penduduk beragama Islam. Hairan sedikit melihat fenomena membawa anjing seperti membawa kucing yang nyata anjing itu najis berat.


11.30 pagi,
perbualan antara ketua misi Haluan dan PANTAS memakan masa yang panjang. Hampir saya mengeluh kerana bosan menunggu, kami dibawa PANTAS ke beberapa kampung yang menerima bantuan sumur(telaga air) daripada PANTAS. Sebanyak 13 buah sumur didermakan. Selama ini, penduduk mengambil air daripada sumber sungai berhampiran. Agak ringan bebanan mereka apabila menerima bantuan ini. Sumur yang dilengkapi kemudahan mesin penyedut air ke dalam tangki dan disediakan paip untuk menggunakan air tersebut.


12.25 t/hari,
HALUAN dan PANTAS menuju ke Dusun Hulu Banda Tungkal Selatan (Kampung Angkat HALUAN). Kami berbincang mengenai sumur yang ingin disumbangkan. Agak terperanjat mendengar 12meter kedalaman sumber mata air diperlukan. Selama hari ini, saya sekadar tekan suis dan tadah air untuk mandi. Ilmu baru tu...


2.00 t/hari,
HALUAN dan PANTAS berpisah seketika. Kami kembali ke rumah tumpangan iaitu rumah Ustaz Ridhuan sendiri. Peserta lain menarik nafas lega. Semua yang lain sudah berumur dan berkeluarga. Ada yang sudah pencen pun. Kudrat untuk berbakti masih ada. Mereka tinggalkan anak isteri semata-mata berjuang di bumi Minangkabau ini. Tersingkap kisah sahabat yang mengikuti Rasulullah berhijrah ke Madinah sejak 1431 tahun lalu. Pengorbanan mereka lebih hebat daripada kami.


3.15 petang,
tiba di Desa Daduk Sungai Limau. Tinggi ke puncak bukit. Masya-Allah, perjalanan yang berjaya kecutkan perut saya itu begitu menginsafkan. Titian sirat hampir serupa konsepnya. Tersilap sedikit, jauh jatuh ke dalam jurang. Seram...
Kehadiran kami disana rupanya sudah dinanti penduduk. Sayup melihat wajah pasrah mereka. Gempa bumi menghantui kehidupan mereka. Kanak-kanak ada yang gembira dan ada juga yang masih bersedih walaupun hampir 2 bulan peristiwa itu berlaku. Saya diberi tugas menjadi pembantu doktor. Ha ha... Merasa kenali nama ubat yang tergeliat lidah bila disebut dengan laju. Lagak saya ala doktor juga la. "bu', ubat ini dimakan ciek sehari tiuk hari ya..." (puan, ubat ini dimakan sebiji sehari setiap hari ya...)

6.00 petang,
disini sudah gelap langitnya. Kami berkemas dan pulang ke rumah tumpangan. Berhenti solat dan maaaakan. Puas perut saya menyanyi lagu Yang Pernah, Estranged.


11.00 malam ,
setengah jam tadi sampai rumah. Tiba waktu tidur. Kelakar tengok gelagat pak Cik zainal. Teriak nya "kopi Radix". Tambah tenaga katanya. Pak Cik Shukri letak kepala terus lelap. Pak Cik Abdullah melayan tokey Radix. Pak Cik Badri dan Ustaz Fazrol masih bersiap untuk tidur. Masing masing letih tahap 'gaban'.

0 komen:

Post a Comment